I just don't know where to start. Actually sehari dua ni, takde mood sangat nak ngadap comp and menulis. Masih terasa kehilangan Allahyarhamah Mak yang tercinta. Aku cuba jadi kuat. Tapi, bila berseorangan, sekali-sekala air mata tetap mengalir. Cepat-cepat aku beristighfar. Tak elok menangisi orang yang dah pergi, kan.. Tambahan pulak dalam keadaan aku yang sedang berbadan dua macam ni. Allahyarhamah pergi pada usianya 75 tahun, setelah terlantar akibat sakit tua selama 3 bulan. Aku harus redha. Memang dah tiba masanya untuk arwah meninggalkan kami semua. Pada pukul 6.44pm 31hb Mac, 2008, aku menerima panggilan telefon daripada kakak iparku. "Mak dah takde".. Itulah ayat yang aku paling tak nak dengar. Tak tau nak cakap lah, macam mana aku menangis masa menerima berita tu. Cepat-cepat aku memaklumkan kepada hubby ku. Selepas maghrib aku membawa anak2 ke rumah abang dengan menumpang kereta anak saudaraku yang sedang belajar di UPM. Hubby aku tak dapat sampai cepat coz dari office di KL dan jalan yang sesak. Sampai di rumah abang, Kak Long and family dah ada. Aku terus mangambil wudhu' dan duduk di sebelah jenazah mak. Sambil menangis, aku peluk dan cium pipi mak. Aku terus membacakan surah yassin. Pun, airmata tetap mengalir. Kemudian, aku solat Isyak dan tak lama selepas itu hubby aku sampai. Setelah berbincang-bincang adik beradik kak long dan abang long membuat keputusan untuk membawa sendiri jenazah mak ke kampung dengan menaiki MPV diorang, malam itu jugak. Sambil mengemas barang-barang Allahyarhamah (dan dah tentunya airmata ni tetap mengalir), aku sempat mengambil 2 helai baju yang selalu dipakai oleh arwah ketika masih sihat. So, lebih kurang pukul 10:30pm mereka semua bertolak dari rumah abang dan jenazah emak diriba oleh cucu2nya (anak2 kak long yang dah besar2). Aku tak ikut sama disebabkan anak2 ku yang masih kecil dan barang-barang yang belum di pack. Balik ke rumah, aku pun packing barang-barang yang nak dibawa balik kampung. Bila mengeluarkan baju2 arwah yang kuambil tadi daripada dalam beg ku, sekali lagi aku menangis. Sebelum menyimpannya ke dalam almari, aku cium baju2 tersebut. Malam itu aku tak dapat tidur. Aku bacakan yassin sampai pukul 2:30 pagi. Kemudian, aku tatap gambar arwah emak yang sentiasa aku simpan dalam purse. Dan, airmata ini tetap mengalir. Pagi esoknya, setelah solat subuh dan menyiapkan anak2, kami sekeluarga bertolak ke kampung. Susah jugak hati aku bila tengok keadaan jalan yang sesak di USJ. Aku berharap sangat supaya sempat sampai sebelum jenazah dimandikan. Aku nak mandikan emak buat kali yang terakhir. Dalam perjalanan, aku call anak2 saudaraku dikampung dan lega bila dimaklumkan jenazah belum dimandikan lagi. Sampai di kampung, aku tengok orang dah ramai. Cepat-cepat aku mengambil wuduk dan membaca surah yassin di sisi jenazah emak. Tak lama kemudian, jenazah emak diangkat untuk dimandikan. Kami adik-beradik, kecuali abangku, sama-sama memandikan jenazah emak. Selepas itu, kami sama-sama mengafankan jenazah. Kemudian sesiapa yang ingin mencium jenazah buat kali terakhir, dibenarkan berbuat demikian sebelum muka jenazah ditutup. Masa itulah jugak, airmataku tak henti-henti mengalir. Berhentilah airmata, aku nak cium emak buat kali terakhir.. berhentilah.. Puas aku mengelap air mata. Bila kering saja airmata, aku cepat-cepat mencium jenazah emak. Tapi tak dapat berlama sebab airmata terus nak keluar lagi.
Setelah disempurnakan semuanya, dan setelah disembahyangkan, jenazah emak pun dibawa ke pusara yang tak berapa jauh daripada rumah. Setelah memastikan ada anak saudaraku yang dapat menjaga Akeef, aku pun turut serta ke pusara dengan membawa Nurin. Sempatlah jugak aku melihat jenazah emak sebelum dikebumikan. Sampai di situ sajalah, dan aku tak akan dapat melihat emak lagi. Ketika berada dirumah Allahyarhamah 2 hari itu, aku betul-betul sedih melihat barang-barang peninggalannya. Kami adik-beradik sama-sama mengemas rumah tersebut. Baju-baju dan kain-kain dibahagikan bersama adik-beradik dan sesetengahnya disedekahkan. Sedih jugak bila tengok beberapa helai kain batik dah telekung yang masih baru dan tak sempat dipakai. Malam kedua itu, selepas tahlil kami semua bertolak balik. Memang sedih nak meninggalkan rumah itu. Terasa betul-betul kosong, dan aku terkenang semasa hayatnya, aku akan mencium tangan dan pipi arwah dan beliau akan duduk ditangga, memerhatikan kami bertolak. Sekarang tiada lagi. Semuanya tinggal kenangan. Emak... Amanlah kau disana, di sisi Tuhan yang Esa.. Semoga roh emak dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para mukminin.. Amin..

|